Friday 6 April 2012

Allah Ajarkan Tentang Menjaga Perasaan Ibu

Ada seorang yang saya kenali yang suka bertanya kepada Allah di dalam urusan kehidupannya. Pada suatu hari dia mengatakan bahawa dia sangat bersyukur dibimbing Allah, diberi hidayah oleh Allah sehingga dia dapat mengenali Allah dan mendapat nikmat ketenangan hidup di bawah lembayung rahmat kasih sayang Allah. Satu hari ketika out-station di Perak, dia mengatakan bahawa dia mahu tahu kenapa Allah memilih dia dari kalangan keluarganya dan saudara-maranya untuk diberi hidayah, kerana kehidupan yang dilalui sama seperti mereka tetapi Allah memilihnya untuk diberi-Nya petunjuk. Maka dia pun bertanya kepada Allah. Alhamdulillah menurutnya, tidak sampai beberapa saat dia bertanya Allah memberikan jawapannya.Mahu tahu apa jawapannya? Allah terus mengingatkan kepadanya kisah ketika dia masih seorang pelajar.Ketika di universiti, dia bekerja sambil belajar dan hampir semua wang yang diperolehinya ketika belajar itu diberikannya kepada ibunya. Hebatnya ganjaran Allah kepada seseorang yang menjaga ibunya.Tiada ganjaran yang lebih bermakna dari ganjaran hidayah dan petunjuk Allah.Namun balasan Allah juga pastinya hebat bagi seseorang yang menyakiti hati ibu.Ampuni kami Ya Allah.
Setelah diberi kefahaman ini, saya terbayangkan pengorbanan ibu saya yang membesarkan saya dan adik-adik sebagai ibu tunggal. Setiap petang apabila ibu saya pulang dari kerja, walaupun keletihan, ibu akan terus ke dapur untuk memasakkan kami makanan. Saya masih dapat melihat keletihan ibu ketika itu dan masih dapat membayangkan keletihannya menguruskan kami. Pastinya kita tidak dapat membalas kasih dan pengorbanan ibu tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjaga perasaan dan tidak melukakan hatinya. Semoga Allah mengampuni kita di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan yang telah mengecilkan hati ibu. Sekiranya ibu kita masih ada bersyukurlah kerana ibu akan mendoakan kita setiap hari. Insya-Allah.sekiranya ibu kita sudah tiada, doakanlah keselamatan untuknya di alam sana sebagaimana dia sering mendoakan kita ketika hayatnya.

Sumber: http://www.iluvislam.com/                sitinurbasiroh

No comments:

Post a Comment