Sunday 4 March 2012

Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh para jemah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.

Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.

Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhar.
Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat.

Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.
Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah diamengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.

2 comments: