Sunday 4 March 2012

ALANGKAH SUSAHNYA UNTUK BERLAKU IKHLAS

Ikhlas adalah salah satu daripada sifat-sifat mahmudah yang
paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan, para
malaikat pun tidak tahu. Yang punya diri pun tidak dapat
mengesannya. Ia adalah penentu apakah amalan seseorang itu
diterima atau ditolak oleh Allah. Ada para Sahabat bila mendengar tentang ikhlas itu dari Rasulullah SAW mereka menangis.Mereka merasa tidak selamat. Mereka merasakan tidak mungkin memperolehi sifat ikhlas yang begitu tinggi kedudukan dan nilainya itu.

Oleh kerana susahnya untuk mendapatkan sifat ikhlas itu,
Islam tidak membenarkan seseorang itu mengaku dia adalah
ikhlas. Siapa yang mengaku dia ikhlas kalaupun sebelum itu
dia ikhlas, automatik keikhlasannya terbatal. Kalau begitu, salah sekali selama ini yang berlaku di dalam kehidupan kita, seolah-olah telah menjadi budaya apabila seseorang itu memberi,menolong, membantu dengan berkata:
“Ambillah! Saya ikhlas ni!”

“Saya telah tolong dia dengan ikhlas. Kemudian dia memusuhi
saya.”

“Saya hendak tolong awak ini dengan ikhlas! Tapi saya sedih,
awak menolaknya.”

“Saya ikhlas hendak bagi sebanyak ini, saya bagilah!”

Di dalam menulis surat selalu ditutup dengan perkataan,
“Saya yang ikhlas.”

Orang yang mengaku ikhlas, ertinya dia mengaku orang yang
paling baik. Di dalam ajaran Islam, mengaku baik itu adalah
satu kesalahan. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi ternafi keikhlasannya. Tiada yang mengetahui seseorang itu ikhlas sekalipun yang punya diri, walaupun malaikat, melainkan Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Oleh itu tiada seorang yang berhak mengaku ikhlas. Cuma
berusahalah untuk menjadi orang yang ikhlas. Moga-moga kita
ikhlas. Setelah kita berbuat demikian moga-moga setiap amal
yang kita buat itu diterima oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment